Lebih 1.2 juta penonton menjadi saksi kepada ketentuan Tuhan terhadap sikap kejam Puan Sri Waheeda terhadap madunya, Karmila menerusi dua episod kemuncak drama Karma yang disiarkan pada 9 dan 10 Januari lalu.
Penghayatan watak dan permainan emosi watak utama lakonan Ziela Jalil dan Fouziah Ghous menjadi topik perbualan ramai sejak mula disiarkan pada 28 November 2011 lalu.
Drama 14 episod ini membariskan nama-nama besar dalam arena hiburan tanah air, jalan cerita diwarnai konflik dan plot yang tidak dapat diduga. Kualiti produksi yang bermutu tinggi hasil pengarah dan juga penerbit iaitu Erma Fatima antara sebab kejayaan Karma.
Karma menyaksikan derita Karmila, isteri kedua kepada Tan Sri Fahrul Sani (Dato’ Ahmad Tarmimi) yang dibenci madunya, Puan Sri Waheeda dan anak perempuannya, Wafida (Sharifah Aleya). Hidup Karmila lebih menderita setelah suaminya meninggal dunia dan anak tirinya, Qayyum (Aaron Aziz) jatuh cinta kepadanya.
Dalam episod terakhir, Qayyum meninggalkan rumahnya kerana malu dengan sikap ibu dan adiknya, Wafida (Sharifah Aleya) yang hilang kewarasan sebagai umat Islam. Karma berakhir dengan Puan Sri Waheeda mengerjakan solat Taubat di Kota Mekah dan memohon maaf kepada Karmila.
SUMBER : MEDIA HIBURAN
0 comments:
Post a Comment