<div style='background-color: none transparent;'><a href='http://www.rsspump.com/?web_widget/rss_ticker/news_widget' title='News Widget'>News Widget</a></div>

Friday, January 6, 2012

ANWAR PAKATAN LANCAR MENIFESTO 14 JAN


PETALING JAYA - Sambil menegaskan beliau akan "terus bertahan" dalam politik tidak kira apa keputusan mahkamah Isnin ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, pelancaran manifesto Pakatan Rakyat (PR), 14 Januari ini adalah salah satu program beliau sepanjang minggu depan.

Beliau juga akan ke luar negara sebaik Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengumumkan keputusan kes liwatnya.

Dalam siri ceramah menjelang hari penentuan perbicaraan kesnya, yang diadakan di sini malam tadi, Ketua Pembangkang ini memberitahu, beliau telah melalui pelbagai situasi dan masih mampu bertahan walaupun berhadapan dengan tekanan dan serangan bertubi-tubi.

"Saya pernah jadi pemangku perdana menteri, saya pernah jadi orang paling dihina apabila dimasukan ke dalam penjara. Saya juga pernah makan hidangan santapan diraja, saya juga pernah makan makanan yang paling teruk masa di penjara. Saya pernah memakai pakaian yang elok dan saya juga pernah ditelanjangkan dan dicampak di atas simen.

"Walau apapun, saya masih bersyukur sebab saya masih lagi bertahan. Alhamdulillah. Saya bertahan dan kini saya lebih komited dan lebih matang," katanya pada ceramah umum di Gasing Indah di sini.

Ketua Umum PKR itu juga berkata, jika Umno merasakan "Anwar kini masih sama dengan yang dulu", maka mereka silap.

Katanya, beliau kini telah banyak berubah berdasarkan pengalaman-pengalaman dilaluinya.

"Saya telah hadapi macam-macam. Adakah saya masih sama dengan Anwar semasa menjadi pemangku perdana menteri dulu? Tidak, tak sama.

"Sama seperti keadilan untuk pelbagai kaum, juga tidak sama seperti dulu. Kita perlu berjuang untuk keadilan ini," katanya.

Beberapa bulan selepas menjadi pemangku perdana menteri, Anwar yang juga bekas menteri kewangan telah dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno pada September 1998.

Dalam ceramahnya, Anwar memberitahu, pelbagai program telah diatur, antaranya lawatan ke Turki dan India sepanjang minggu depan.

Kata beliau, lawatannya ke Turki dan India masing-masing adalah atas pelawaan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan dan cucu Bapa Kemerdekaan India Mahathma Gandhi.

"Selepas lawatan ini semua, pada 13 Januari, saya akan ke Alor Setar untuk melancarkan manifesto Pakatan Rakyat di sana pada 14 haribulan. Ini rancangan kami. Sama ada jadi atau tidak, saya tawakal kepada Allah. Apa yang terjadi, kita perlu teruskan. Kalau ada semangat ini saya percaya, kita boleh lakukan.

"Kita yang tentukan agenda, bukan mereka (Umno-BN). Pedulikan mereka. Saya nak ingatkan bahawa, mana-mana bangsa yang hina kaumnya sendiri dan kaum lain, pedulikan mereka dan kita pastikan pilihan raya akan datang kita menang," katanya.

PR akan mengadakan konvensyen pihaknya di Kedah pada 14 Januari, di sebalik desas-desus bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13 akan diadakan dalam waktu terdekat.

Perikatan itu dibentuk sejurus selepas pilihan raya umum 2008.


SUMBER : SINARHARIAN

0 comments:

Post a Comment